Friday, July 10, 2009

PPSMI

Akhirnya kerajaan telah membuat keputusan untuk memansuhkan PPSMI sama sekali menjelang 2012. Soalnya disini, adakah ianya merupakan keputusan yang tepat atau tidak. Ianya tidak dapat dipastikan selagi hasil yang dikeluarkan oleh "post PPSMI" belum dihasilkan lagi.

Ketika ini banyak pihak telah mengeluarkan pandangan masing - masing berkenaan isu ini termasuklah yang dikasihi Tun Dr. M yang ternyata kecewa dengan keputusan ini. Beliau telah mengeluarkan pandangan beliau dan malah telah menjalan kaji selidik melalui blog Chedet beliau untuk mendapatkan pandangan orang ramai berhubung keputusan kerajaan untuk memansuhkan PPSMI. Hasil daripada tinjauan tersebut ramai responden tidak bersetuju dengan keputusan tersebut, dianggarkan lebih kurang 80% tidak bersetuju.

Perlu diingat, adakah keputusan tinjauan tersebut tepat? Sudah pasti responden tersebut terdiri di kalangan pengikut Che Det blog yang majoritinya adalah penyokong Tun Dr M. Sementara itu dipihak kerajaan pulak, adakah hasil penilitian dan analisis yang dijalankan mengenai PPSMI benar - benar telus dan tepat? Itu pun tidak dapat dipastikan. Harus diingat, timbalan menteri pelajaran Dato' Fuad Zarkashi adalah merupakan beberapa tokoh yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan PPSMI. Atau adakah kerajaan yang terlalu lemah hinggakan terpaksa tunduk dengan tuntutan pembangkang?

Ada juga dikalangan guru - guru yang menentang pelaksanaan PPSMI ini dan malah ada yang telah membuat kesimpulan sendiri jika terlaksananya PPSMI ini kadar kegagalan dalam peperiksaan terutama sekali penduduk luar bandar akan terbambah yang mananya kebanyakkannya terdiri dari orang Melayu. Malah ada yang berkata matlamat PPSMI adalah bertujuan untuk memusnahkan orang Melayu. Pada hemat saya, sikap sesetengah guru - guru juga boleh dipersalahkan yang mana boleh menjangkiti anak - anak murid mereka dengan virus kurang berminat mempelajari bahasa Inggeris ini. Terdapat juga kes yang mana ada guru - guru yang mengajar pelajaran bahasa Inggeris dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Pertama sekali kita harus tahu apakah matlamat PPSMI? PPSMI adalah bertujuan untuk membekalkan landasan kepada anak - anak, adik - adik, abang - abang, kakak - kakak, ibu - ibu dan bapa - bapa untuk mendapatkan ilmu untuk memajukan negara dan diri sendiri. Pada zaman sekarang kekuatan seseorang dan sesuatu negara bergantung kepada tahap pencapaian ilmu masing - masing. Bahasa ilmu ini kebanyakan terdiri daripada bahasa Inggeris, malah hampir setiap hari satu penemuan baru dalam bidang sains mahupun teknologi telah dihasilkan dan dijilidkan dalam bahasa Inggeris. Maka akan terhasilah istilah - istilah baru dalam bahasa Inggeris sehinggakan sukar kepada seseorang itu untuk memahami apa yang ditulis jika beliau tidak mempunyai asas dalam bahasa Inggeris.

Ketika bangsa Eropah berada didalam zaman gelap dahulu, bahasa ilmu dikuasai oleh bahasa Arab. Banyak buku - buku ilmu dan sains ketika itu dijilidkan di Andalusia dan Baghdad, bangsa Eropah selepas kalah dalam perang salib telah belajar dari kesilapannya lalu belajar bahasa Arab untuk menguasai ilmu yang ketika itu banyak berpusat di Andalusia atau pun Sepanyol ketika ini. Ketika itu banyaklah buku - buku ilmu dan sains telah diolah kedalam bahasa Latin dan akhirnya bahasa Inggeris sehinggakan menjadikan bahasa ilmu yang kita pelajari sekarang. Malah banyak juga perkataan - perkataan Inggeris telah diMelayukan untuk menjelaskan sesuatu penemuan dalam bahasa Melayu. Malangnya jumlah buku - buku ilmu dan sains ini amat kurang sekali dan tidak cukup untuk menampung bidang ilmu dan sains yang amat besar dan masih membesar ini.

Saya boleh beri satu contoh yang telah berlaku kepada diri saya sendiri untuk renungan kita semua dimana saya telah mencuba berkomunikasi dengan klient saya mengenai perkara yang berbentuk teknikal, dimana saya dapati amat sukar sekali untuk diolahkan kedalam bahasa Melayu sehinggakan saya terpaksa kembali untuk menulis kedalam bahasa Inggeris. Itu hanyalah satu contoh yang amat mudah, bagaimana pula jika ianya berkaitan dengan perkara teknikal yang lebih rumit lagi.

Mempelajari bahasa Inggeris bukan akan menyebabkan kita kurang Melayu, jika ini yang dirisaukan maka ianya menunjukkan betapa pendek dan jumud pemikiran kita. Malah saya juga tidak dapat mengerti dengan pandangan segelintir masyarakat kita terutama sekali orang Melayu yang menentang pelaksanaan PPSMI ini. Adakah orang Melayu dan bahasa Melayu akan pupus sama sekali? Tidak sama sekali! Contohnya cuba kita lihat bangsa Eropah, adakah mereka pupus atau bahasa Inggeris mereka pupus? Tidak sama sekali! Sebaliknya bangsa Arab pula yang menjadi bangsa yang mundur dan jumud walaupun bahasa Arab itu tidak pupus. Ini adalah satu contoh yang nyata yang tidak boleh disangkalkan sama sekali.

Yang akan menerima kesannya nanti adalah anak - anak cucu kita ekoran dari pemansuhan PPSMI ini, bangsa Melayu terutama sekali yang kebanyakannya ketika ini merupakan golongan yang banyak menentang PPSMI yang akan mendapat kesannya nanti. Malang sungguh bangsaku. Sejak dari sebelum merdeka sampailah selepas merdeka masih terjerat dengan sifat ini. Inilah virus yang membelengu orang Melayu dari dahulu sampailah sekarang yang lebih berbahaya daripada virus H1N1 ataupun virus HIV yang mana sampai sekarang masih tiada vaksinnya lagi.

Wahai bangsa ku ayuh bangunlahhhhhhhhh

No comments:

Post a Comment