1) Sekali lagi kejutan dibuat oleh Kassim Ahmad. Kali ini bukan melalui karya - karya atau catitan kontroversi beliau. Tetapi ucapan beliau ketika seminar Kassim Ahmad Suatu Penilaian yang dibuat di Yayasan Kepimpinan Perdana dimana ucaptama dan perasmian telah disampai oleh Tun Dr Mahathir.
2) Sejujurnya aku berminat untuk menghadiri seminar tersebut, tetapi malangnya aku tidak kesempatan disebabkan kesuntukan masa. Nama Kassim Ahmad bukanlah baru pada aku, malah arwah ayah ku amat meminati beliau, mungkin kerana pemikiran beliau selari yang lebih bersifat sosialis ketika dahulu. Suatu lagi persamaan diantara mereka berdua ialah, kedua - duanya amat meminati dan mendalami al-Quran. Ketika akhir hayat, arwah banyak mendalami Quran. Arwah banyak berkongsi pendapat dan pandangan dengan sahabat karib beliau Abang It (aku kurang pasti nama sebenar beliau), Abang It sering kerumah untuk berbicara dengan arwah, berbagai - bagai topik dibincangkan termasuklah al-Quran. Abang It bukanlah seorang yang digemari oleh orang kampung, beliau tidak mempunyai ramai kawan, malah tidak ke masjid setiap kali sembahyang Jumaat, tetapi beliaulah kawan baik arwah ayah ku. Malangnya aku masih kecil lagi untuk berbicara dan mendengar perbincangan mereka berdua. Setahu aku mereka juga pernah berbicara tentang perbezaan terjemahan al-Quran dalam bahasa Inggeris oleh beberapa orang penterjemah.
3) Antara hadis dan al-Quran haruslah diketahui darjatnya, yang manakah patut diutamakan jika berlaku pertelingkahan hukum antara dua hadis. Malah pada aku, ajaran Quran itu perlu dituruti, manakala hadis pula adalah pelengkap ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Begitu juga darjat antara Allah dengan Nabi Muhammad SAW, sudah tentu Allah itu lebih tinggi dari Nabi Muhammad SAW. Mungkin ada kebenaran apa yang diucapkan oleh Kassim Ahmad, yang mengkritik umat Islam, yang telah meletakkan darjat Nabi Muhammad itu setaraf dengan Allah SWT. Sedangkan baginda merupakan Rasulullah atau wakil Allah. Umat Islam ketika ini juga telah meletakkan hadis setaraf dengan al-Quran sehinggakan sanggup mengkafirkan saudara seagama dengan berlandaskan hadis semata - mata.
4) Sejak kewafakatan Nabi Muhammad SAW lebih dari 1400 tahun dahulu, berbagai - bagai tafsiran telah dibuat oleh para ulama, baik dalam soal ilmu fiqah mahu pun ilmu tauhid. Hasilnya umat Islam telah berpecah, dan bercakaran sesama kita. Umat Islam jelas jauh terbelakang dalam serba - serbi, semuanya disebabkan tidak lagi menuruti ajaran Islam yang sebenar, ajaran Quran yang turun sebagai wahyu Allah SWT yang dibawa diajar oleh Nabi Muhammad SAW. Umat Islam lebih terpengaruh dengan ajaran ustaz - ustaz dan golongan yang dilabel sebagai ulama yang mendakwa mereka sahaja yang berhak menentukan dan mentafsir al-Quran. Sebarang bentuk usaha untuk mendalami al-Quran akan dihalang dengan mendakwa hanya mereka sahaja yang boleh mentafsir al-Quran. Akhirnya kualiti umat Islam akan luntur. Yang tinggal hanya umat Islam yang dapat menerima bulat - bulat ajaran tok guru tanpa berfikir sama sekali. Jelas ia amat bertentangan dengan ajaran Quran yang menuntut umatNya agar berfikir dan menggunakan akal dengan bijak.
5) Akibatnya selama 1000 tahun lebih sejak kewafatan Nabi Muhammad SAW, umat Islam telah berpecah disebabkan oleh ajaran para ulama ini. Sedangkan Islam yang dibawa oleh Nabi SAW hanyalah satu Islam, tiada dua atau tiganya. Tiada mazhab Syafie, mahupun Hambali atau pun Syiah yang dibawa. Inilah punca sebenar perpecahan umat Islam ketika ini, berpunca dari tidak lagi mendalami ajaran Islam sebenar yang diwahyukan melalui RasulNya, sebaliknya lebih mempercayai ajaran ustaz - ustaz.
6) Hadis hanyalah sebagai pelengkap - yang melengkapi ajaran Quran. Quran itu mukjizat, tiada cacat celanya walaupun berusia lebih 1400 tahun. Manakala hadis datang selepas kewafatan Rasululah SAW, yang dikumpul oleh para ulama terdahulu 200 tahun selepas kewafatan Rasullullah.
7) Aku percaya ulama terdahulu, yang mengkaji dan mengumpul hadis, menjalankan penilaian dengan berlandaskan al-Quran untuk menentukan kesahihannya. Tapi perlu diingat, manusia itu tidak dapat lari dari cacat cela dan membuat kesilapan, ada khilafnya, kerana itu merupakan fitrah kejadian manusia itu sendiri yang merupakan khalifah di muka bumi ini. Justeru pada aku tidak semua hadis boleh diterima secara mutlak, bergantung kepada zaman. Malah terdapat juga hadis yang bertentangan walaupun ia datang dari kalangan mazhab al-Sunnah Wal Jamaah.
8) Aku dapati pandangan Kassim Ahmad agak idealistik apabila beliau membicarakan tentang sosiologi dan socio engineering. Perlaksanaan ideologi berdasarkan apa yang beliau fahami dari al-Quran juga boleh dipertikaikan, contohnya apabila beliau membicarakan tentang timbang dan tara [check and balance] yang dianggap idea dari Barat. Pada aku sistem geopolitik Malaysia masih memerlukan parti pembangkang dalam menjadi pengimbang tara kepada parti pemerintah agar tidak lari landasan yang betul. Walaupun realitinya parti pembangkang gagal dalam menjadi pemangkin atau pembangkang yang membina kepada negara dan rakyat. Tetapi secara paktikalnya inilah sistem yang terbaik yang kita ada ketika ini walaupun terdapat cacat celanya.
9) Bersediakah rakyat Malaysia menerima sistem yang baru? Setidak - tidaknya bersediakah rakyat Malaysia menerima sistem komunis yang masih lagi dilaksanakan oleh China ketika ini? Sistem satu parti yang mentadbir dan memerintah secara absolute. Aku agak skeptikal dengan penerimaan rakyat terhadap sistem komunis mahupun sosialis, rata - rata masih lagi kurang matang dan tidak bersedia menerima setiap sistem baru jika ingin dilaksanakan. Malah jika diamati China juga melaksanakannya setiap sistem secara beransur - ansur, contohnya dengan menerima sistem ekonomi terbuka yang bersifat kapitalis tetapi diperintah secara komunis dan sosialis. Begitu juga dengan Mesir, Bangladesh mahupun Iraq, dapatkah negara - negara ini melaksanakan demokrasi? Sejujurnya aku kurang pasti dan ragu - ragu, malah mungkin sistem kuku besi mahu diktatorship merupakan yang terbaik untuk negara - negara ini. Perlu dingat setiap yang dicipta oleh manusia itu terdapat cacat celanya, kecuali ciptaan Allah SWT. Malah demokrasi yang diguna pakai ketika ini juga mengambil masa beribu tahun untuk dapat dilaksanakan . Sebelum itu manusia telah mencipta berbagai - bagai sistem, daripada feudalism, socialism, communism hinggalah ke demokrasi. Akibatnya berjuta - juta umat manusia telah meninggal atau mati akibat kesilapan, kelemahan dan salah guna kuasa yang terhasil dari sistem ciptaan manusia ini.
10) Perletakan martabat agama Islam seperti yang terkandung dalam perlembagaan haruslah dikekalkan, kerana ia jelas memberi manfaat kepada orang Islam di Malaysia. Walaupun memeluk Islam itu bukanlah paksaan seperti yang diajar oleh al-Quran, tetapi sekurang - kurangnya kedudukan Islam dalam perlembagaan itu sedikit sebanyak dapat memartabatkan Islam dan dapat mengelak dan mengurangkan kadar murtad di kalangan umat Islam di Malaysia, malah ia mungkin dapat menarik minat orang bukan Islam agar tertarik kepada Islam. Inilah perkara yang sering kita terkhilaf, mungkin di Indonesia isu murtad bukanlah merupakan polemik atau isu yang besar tetapi murtad merupakan isu yang sangat sensitif kepada orang Melayu di Malaysia. Jelas sekali budaya dan perlaksanaan undang - undang di Malaysia amat berlainan dengan Indonesia. Bukankah menerima kepelbagaian itu juga merupakan salah satu ajaran Islam. Bukankah bagi mu agama mu bagi ku agama aku.
11) Percayalah tiada satu yang absolute dalam dunia, tidak boleh terlebih dan terkurang dalam perlaksanaannya, sesuatu yang berada di antara, seperti kata Kassim Ahmad "mudarat kalau tidak makan, tetapi kalau makan terlalu banyak pun mudarat". Inilah keindahan ciptaan Allah SWT yang sering kita terlupa.