Monday, December 29, 2014

Sokongan Kepada Tan Sri Muhyiddin



1) Orang Melayu ketika ini telah sampai di persimpangan masa depan mereka. Orang Melayu telah berpecah kepada tiga kumpulan kecil UMNO, PAS dan PKR meski pun mereka mewakili 60% populasi Malaysia - akibatnya mereka telah menagih / mengemis sokongan dan undi dari bangsa lain terutama dari bangsa Cina yang bersatu di bawah payung parti DAP. MCA parti yang sepatutnya mewakili bangsa Cina telah ditolak, mengakibatkan iklim politik Malaysia kembali panas seperti sebelum tragedi 19 Mei.

2) Suka atau tidak inilah realiti yang melanda orang Melayu yang tidak bersatu dan kuat, sedikit demi sedikit hak - hak keistimewaan mereka sedang dicabar dan dirampas atas semangat moderasi yang dipelopori oleh akhbar The Star yang dimiliki oleh parti MCA. NGO - NGO yang mempertahankan hak - hak orang Melayu termasuklah Perkasa telah dilabelkan sebagai ektrem oleh golongan moderat ini, sedangkan NGO - NGO tersebut hanya berjuang mempertahankan hak - hak Bumiputera dan nasib orang Melayu seperti yang telah termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

3) Seperti yang telah dibincangkan dengan sahabat aku baru - baru ini, beliau telah mencadangkan agar meletakkan Islam sebagai panji atau tiang seri kebersatuan orang Melayu. Malangnya macam mana Islam akan kuat jika orang Melayu tidak bersatu dan kuat? Soal aku kepada beliau. Apa yang berlaku di timur tengah boleh dijadikan contoh - dimana orang Arab yang tidak bersatu maka Islam telah diperkotak katikkan oleh musuh Islam. Apa yang berlaku di negara Arab boleh berlaku di Malaysia, malah ia sedang berlaku, dan akan menjadi parah jika tiada sebarang usaha dilakukan oleh badan - badan dan pihak yang bertanggungjawab, terutama sekali UMNO dan kepimpinan orang Melayu.

4) Atas faktor di ataslah aku berpendapat kepimpinan orang Melayu yang ditunjangi oleh UMNO perlu melakukan tindakan drastik untuk mengembalikan sokongan orang Melayu kepada UMNO/BN. UMNO sendiri perlu berubah sebelum diubah. Kepimpinan UMNO sekarang jelas telah gagal menangani masalah dan kerisauan orang Melayu, apa yang ternampak ketika ini, terdapat usaha mengemis undi dan sokongan dari bangsa lain. Apa yang berlaku di Perak selepas PRU12 boleh dijadikan contoh, dimana kepemimpinan Melayu PAS telah dijadikan lembu yang dicucuk hidungnya oleh parti DAP. Melayu hanya berkuasa di atas kertas kerana undang - undang tubuh kerajaan negeri Perak yang menetapkan menteri besar haruslah dari kalangan orang Islam.

5) Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dilantik menjadi president UMNO dan Perdana Menteri Malaysia menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak. Masanya sudah tiba perubahan kepimpinan UMNO dan negara dilakukan dari sekarang, jika tidak nasi bakal menjadi bubur. Suka atau tidak inilah realitinya, orang Melayu harus prakmatis dan berani berubah kerana suasana dan keadaan yang memerlukan. Jesteru Tan Sri Muhyiddin perlu menerima beban yang dipikul, kerana ini merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh beliau sebagai pemimpin parti politik bangsa.

6) Maka dengan ini aku menarik kembali sokongan aku kepada Datuk Seri Najib sebagai president UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Dan memberi sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin naik sebagai President UMNO dan Perdana Menteri Malaysia menggantikan Datuk Seri Najib.


7) Perubahan perlu dilakukan sekarang bagi memastikan kelangsungan kepimpinan orang Melayu kekal ditangan orang Melayu yang juga merupakan pemangkin kestabilan politik negara. Sejarah telah membuktikan jika orang Melayu bersatu dan kuat, ia bakal memberi kestabilan ekonomi kepada negara, dimana setiap bangsa bakal memperolehi nikmatnya.