Monday, September 28, 2015

Antara Pintu Hati dan Erti Pengorbanan

1) Seperti yang pernah aku nyatakan sebelum ini, menegakkan kebenaran dan berpegang kepada prinsip, memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang tinggi. Ia menuntut kesabaran yang amat tinggi, kerana ketika kita berjuang mempertahankannya kita akan kehilangan ramai orang tersayang termasuklah sanak saudara dan sahabat handai. Kerana kebenaran hanya akan tertegak diakhir perjuangan apabila pengorbanan telah pun dilakukan dan kita redha apa jua ketentuanNya.

2) Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, kebenaran itu datang daripada Tuhan manakala kemungkaran atau kepalsuan datang daripada syaitan. Hikmah dalam mempertahankan kebenaran akan meningkatkan keimanan kita, selepas ranjau, onak dan duri telah dilalui. Ia tidak datang secara percuma - ia menuntut keimanan dan kesabaran yang tinggi. Sebab itulah ada pujangga menyatakan kesabaran itu separuh daripada iman.

3) Oleh sebab itulah kebenaran itu tergolong dalam ilmu hakikat, dimana puncaknya adalah redha. Redha kehilangan keluarga jika kebenaran ingin dicapai, redha kehilangan sahabat handai jika kebenaran ingin dicapai.

4) Orang yang bercakap benar, adalah orang yang berterus terang, orang yang berani menyatakan kebenaran dan berani menyatakan realiti yang berlaku. Manakala orang yang cuba menutup pintu kebenaran adalah orang yang tak jujur, yang lebih mementingkan diri sendiri. Orang seperti ini mempunyai banyak insecurity dalam diri - kurang yakin kepada diri sendiri, takut kepada bayang - bayang diri dan sering mempunyai syak wasangka terhadap orang lain. Perbuatan baik orang lain akan dipandang serong. Orang seperti ini tidak akan berani menyatakannya secara terbuka, tetapi perbuatan dan tingkah laku mereka akan membuktikannya.

5) Manakala orang yang berterus terang, yang berani menyatakan realiti dan kebenaran akan diketepikan secara halus - tiada kenyataan terbuka akan dilakukan. Mereka ini bacul (tiada keberanian).

6) Ilmu yang dipelajari hanya pada kulitnya sahaja, tetapi nilai yang dipelajari tidak dapat dihayati dan dilaksanakan, kerana pintu hati telah tertutup dari kebenaran - tidak jujur dan tidak muhasabah diri ketika mendalami ilmu yang dipinjamkan.

7) Biarlah sehebat mana ilmu agama yang cuba dipelajari, sehebat mana ustaz - ustaz dan ulama yang dicari - jika tidak muhasabah diri dan berlaku jujur pada diri sendiri, ilmu yang dicari tak akan kesampaian.

8) Janganlah terkejut, jika kita terjumpa umat yang tinggi ilmu agamanya tetapi rendah akhlaknya. Orang - orang seperti ini banyak terdapat dalam masyarakat kita, termasuklah dari kalangan keluarga sendiri mahu pun sahabat handai. Mereka ini sering cuba menunjuk ketinggian ilmu agamanya, tetapi mereka terlupa keriakkan telah mengaburi mata dan menutup pintu hati kepada kebenaran. Bila bercakap soal agama, tentang hukum hakam, dosa dan pahala, perkara - perkara sunat dan haram akan disampaikan dengan penuh tekun. Tetapi malangnya nilai - nilai baik yang juga amat ditekankan oleh Islam dilupakan - seperti berlaku jujur pada diri sendiri dan orang lain, juga bercakap benar tidak diamalkan.

9) Konsep hormat juga telah dilupakan, pada mereka hormat mestilah diberikan kepada yang lebih tua, hormat juga mesti diberikan kepada ketua. Tetapi adakah mereka terlupa orang tua dan ketua kita juga adalah manusia biasa - yang tak dapat lari dari melakukan kesilapan dan kekhilafan. Pada aku hormat mestilah disukat agar tidak jadi melampau, kerana Islam itu juga menitik beratkan kesederhanaan. Ada pepatah Melayu menyatakan - jika sayang tegur - tegurkan, jika benci biar - biarkan.

10) Harus diingat - jika menegur, kita bakal dilabel sebagai pengkhianat kepada ketua atau pemimpin, jika anak - kita bakal dilabel sebagai anak derhaka. Inilah pengorbanan yang perlu ditempuh. Jika jujur dan istiqamah dalam menyatakan kebenaran, dalam menempuhinya kita bakal terkorban dan perlu berkorban.    

No comments:

Post a Comment