1) Iklim politik, ekonomi dan sosial yang melanda negara ketika ini jelas memberi masa depan yang amat gelap kepada kita rakyat Malaysia. Ia berpunca akibat daripada kelemahan dan amalan korupsi yang berleluasa dalam kepimpinan UMNO dan kerajaan.
2) Satu dunia tahu kisah 1MDB dan derma 2.6 billion yang masuk dalam akaun peribadi DS Najib. Malah tiada tindakan dan penafian dilakukan oleh DS Najib. Sebaliknya beliau menguatkan genggaman politik dalam UMNO dengan membuang pemimpin - pemimpin yang berani mempersoalkan wang derma 2.6 billion dan 1MDB. Semua pintu telah pun ditutup. Peluang yang ada mungkin melalui gerakan massa / rakyat yang dipelopori oleh Tun Dr Mahathir. Najib mungkin lupa kuasa dan wang tidak kekal - ia hanya sementara. Mungkin didorong oleh perasaan takut (in-secure), beliau bertindak demikian.
3) Namun kerosakan telah pun berlaku, dan telah menyebabkan rakyat menanggung akibatnya. Tiada jalan lain selain dari tindakan drastik yang perlu dilakukan. "Deklarasi Rakyat" mungkin solusinya - ia menuntut perletakan jawatan Najib dari jawatan PM dan President UMNO dan perletakan jawatan keseluruhan kabinet beliau serta merta. Ini bertujuan bagi suatu siasatan menyeluruh yang tidak berat sebelah dan adil, agar mencapai keadilan kepada setiap orang.
4) Umum mengetahui Tun Dr M adalah "season politician" dan juga pemimpin berkaliber yang berpandangan jauh dan objektif. Ketika beliau masih menjawat jawatan PM, banyak polisi dan idea yang tidak popular diketengahkan, tetapi sering kali polisi - polisi ini memberi manfaat jangka masa panjang kepada rakyat dan negara. Tidak perlulah aku nyata satu persatu, umum mengetahuinya. Begitulah juga dalam kontek politik dimana aku berpandangan yang sama. UMNO yang menjadi tiang, yang menjadi dasar penggerak kini telah menjadi begitu korup. Justeru tiada jalan lain selain dari proses penyucian menyeluruh perlu dilaksanakan demi kelangsungan orang Melayu dan negara.
5) Proses ini memerlukan pengasingan beberapa pemimpin korup dan rasuah, yang memakan dedak, yang tidak jujur dalam perjuangan parti, yang hanya mementingkan diri sendiri. Pemimpin begini haruslah dibuang bersama ketua / tuan mereka. Manakala segelintir pemimpin yang masih berpegang pada paksi yang betul, yang jujur dan amanah harus dikekalkan melalui proses penyulingan ini. Malangnya proses ini bakal menyebabkan UMNO turut jatuh bersama, tetapi apakan daya, inilah satu - satunya jalan untuk memulihkan kembali UMNO.
6) Mujur terdapat ramai pemimpin begini yang telah masuk dalam kapal, bersama - sama kapten Bugis ini. Kapal ini dipandu oleh nakhoda yang sedang bergelut menyelamatkan kapal beliau daripada karam di lautan yang bergelora. Jika bahtera ini karam, semua nakhoda dan anak kapal beliau akan turut tenggelam bersama - sama, Insyaallah.
7) Jika dikaji sejarah, UMNO telah melalui beberapa fasa penyucian, dua daripadanya telah berlaku ketika era Tun Dr Mahathir. Pertama ketika UMNO diharamkan, yang menyebabkan ramai kelompok yang menyokong Tengku Razaleigh Hamzah berpisah dengan team A yang menyokong Dr Mahathir (Ketika inilah politik wang mula popular dalam UMNO).
8) Kemudian, ketika DS Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO dan kerajaan. Ramai penyokong dan tali barut AI telah keluar meninggalkan UMNO. Ramai juga daripada mereka ini yang korup yang telah menerima suapan AI, manakala yang setia dengan perjuangan Dr Mahathir, kekal dalam UMNO.
9) Setelah lapan belas tahun berlalu, timbul satu lagi peristiwa besar dalam UMNO yang ketika ini dipimpin oleh DS Najib. Berbanding peristiwa - peristiwa sebelum ini, president UMNO itu sendiri yang terpalit dengan pelbagai skandal. Justeru cabaran yang dihadapi amatlah besar, memandangkan semua institusi penguatkuasaan dan kerajaan, serta UMNO sendiri sudah menjadi kotor - dikotori oleh president serta kuncu - kuncu beliau. Ketika ini semua pemimpin - pemimpin jujur, yang bercakap benar telah dan sedang dibuang daripada UMNO.
10) Sudah terlalu lama, kita rakyat Malaysia disajikan dengan penampilan mewah dan sombong pemimpin - pemimpin UMNO ini. Mereka ini sudah lupa siapa diri mereka, dan daripada mana mereka berasal. Tiada jalan lain selain dari penarikan kuasa daripada pemimpin - pemimpin ini. Inilah dilemma orang Melayu, yang sering kita panggil Melayu mudah lupa, yang telah berjangkit ke setiap pemimpin UMNO selama ini.
11) Virus yang merebak yang menjangkiti UMNO ini amat terlalu kuat. Ubat yang ada hanyalah penolakan secara total, agar pemimpin - pemimpin begini kembali sedar apakah itu erti perjuangan asli.
12) Sahabat ku Najieb pernah berkata "jika kesilapan ia masih boleh diampun, kerana kesilapan itu memang lumrah kejadian manusia. Tetapi jika jenayah, ia harus dihukum". Justeru situasi yang membelengu negara dan kepimpinan UMNO ketika ini menuntut suatu hukuman terhadap pemimpin - pemimpin begini. Jika tidak, ia bakal menjadi virus yang sukar dibuang, yang bakal menular hingga ke rakyat bawahan seperti yang berlaku terhadap masyarakat Indonesia, dimana ia telah menjadi salah satu budaya yang tidak baik. Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment