Tuesday, November 10, 2020

SUDAHKAH KITA SEDAR?



1) Pernahkah kita terfikir apa yang berlaku sekarang kepada kita, baik dari ekonomi mahu pun politik adalah akibat dari perbuatan kita sendiri? Bukankah kita yang undi pemimpin - pemimpin ini? Maka jika mereka merompak harta negara dan wang rakyat, sedikit sebanyak kita harus salahkan diri kita jugak kerana telah memilih mereka sebagai pemimpin kita. Kita sering salahkan pemimpin - pemimpin politik ini kerana mereka tidak amanah, lebih pentingkan diri sendiri berbanding tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat, namun kita masih pilih mereka sebagai pemimpin kita.  

2) Tuhan telah buka jalan kepada kita untuk memilih pemimpin - pemimpin ini melalui pilihanraya, Tuhan telah menganugerahkan akal kepada kita untuk menilai pemimpin - pemimpin ini, sebaliknya kita gagal guna akal yang dianugerahkan untuk memilih mereka yang benar - benar berkaliber, jujur dan amanah sebagai pemimpin kita. Hasilnya kita dapat pemimpin - pemimpin yang separuh masak, tidak jujur, korup dan tidak amanah sebagai pemimpin kita. Siapakah yang harus dipersalahkan? Tiada siapa lagi yang boleh disalahkan kecuali diri kita sendiri. 

3) Sebagai contoh negeri Kelantan, pada aku rakyat Kelantan tidak harus salahkan pemimpin mereka semata - mata jika mereka merungut negeri mereka mundur dan kurang membangun. Negeri Kelantan adalah negeri yang tiada pendapatan selain dari bergantung kepada bantuan kerajaan persekutuan tiap - tiap tahun, jika tiada bantuan kerajaan persekutuan, aku rasa negeri kelantan akan bangkrup terus. Tapi rakyat Kelantan seperti selesa tak kisah dengan masalah air yang tak pernah selesai - selesai, selesa dengan kelemahan majlis bandaran dalam beri perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat, tidak kisah dengan gaji adun yang terus naik sedangkan negara dan negeri terhimpit dengan masalah wabak covit-19, malah rakyat Kelantan juga tidak ambil peduli pun adun - adun mereka gunakan wang bantuan kerajaan persekutuan digunakan untuk beli kereta mewah Mercedes Benz untuk kegunaan semua exco - exco negeri. PAS adalah contoh klasik orang Melayu yang lebih pentingkan prestij berbanding tuntutan sebagai seorang pemimpin. Perkara yang sama juga berlaku kepada Menteri Besar Kedah pimpinan PAS, apabila beliau meminta diberikan kereta rasmi sebuah kereta mewah vellfire sebaik sahaja dilantik sebagai pengerusi SADA. Sedangkan SADA dihimpit kerugian RM36 juta, dan memerlukan suntikan modal untuk meningkatkan taraf sumber air di negeri Kedah.

4) Sebagai perbandingan cuba kita lihat video di bawah, bagaimana negara kafir Jerman jaga kebajikan rakyat mereka hadapi wabak covit-19. 


   

Jelas pemimpin - pemimpin Jerman mengamalkan ajaran Islam, sedangkan kita orang Islam dan negara Islam melaung - laungkan perjuangan Islam, tetapi langsung tidak melaksanakan ajaran Islam seperti yang dikehendaki oleh Islam itu sendiri. Kita orang Islam harus berasa malu kepada negara kafir Jerman ini. Jelas sekali pemimpin kafir Jerman lebih amanah dan bertanggungjawab dari pemimpin Islam itu sendiri.   

5) Jika negara mundur, jangan salahkan pemimpin kita semata - mata, kita juga harus salahkan diri sendiri juga. Kita juga harus dipersalahkan kerana memberi peluang kepada Najib dan Rosmah, serta pemimpin UMNO yang lain, yang merompak harta negara. Akibat yang akan ditanggung oleh beberapa generasi selepas kita.

6) Kita sering mempersendakan apabila Tun Mahathir pernah menyatakan "Melayu mudah lupa". Aku rasa ramai yang tak faham pun apa yang dimaksudkan oleh beliau "Melayu mudah lupa" ini. Habis kuat yang boleh difahami maksud "lupa" adalah dari erti kata sebenar, sedangkan maksud "lupa" luas dan dalam maksudnya. Selain itu kita juga ego dalam mengakui kelemahan kita, tak nak akui "Melayu itu mudah lupa", tak nak akui Melayu itu rata - rata malas, Melayu itu terlalu tamak dan sering inginkan pulangan cepat yang sering merugikan Melayu di kemudian hari. Inilah nilai - nilai yang buat orang Melayu gagal capai matlamat yang disasarkan oleh dasar Ekonomi Baru. Sejujurnya aku rasa wabak covit-19 ada bagusnya jugak, moga mogahan ia dapat menyedarkan kita kembali, bahawa kita sebagai orang Melayu perlu balik ke pangkal jalan kerana kita telah jauh sesat.

7) Aku percaya ramai orang Melayu yang marah dan tak setujui dengan pandangan aku ini. Tetapi aku percaya orang Melayu telah jauh menyimpang. Jadi aku beranggapan kita perlu set semula langkah kita, perlu kembali ke pangkal jalan kerana sudah jauh sesat jalan. Mungkin kita terlalu ego hendak akuinya atau pun mungkin terlalu lurus - tak nampak masalah yang membelengu orang Melayu ketika ini. Kita mungkin hanya nampak beberapa kerat orang Melayu yang berjaya, yang benar - benar rajin, tetapi sebenarnya masih ramai lagi orang Melayu yang tamak, berfikiran cetek dan malas di luar sana. Sebenarnya ini juga merupakan suatu masalah kepada orang Melayu, kerana kita akan terbuai - buai dengan khayalan kosong yang jauh terasar dari realiti. 

8) Pada aku orang Melayu harus keluar dari zon selesa, perlu berani hadapi cabaran realiti yang membelengu masyarakat kita, perlu berani bercakap benar, berani mempertahankan kebenaran, berani mengorbankan kepentingan diri dalam perjuangan, demi menaikkan taraf bangsa. Kita perlukan "Reality Distortion", yang boleh sedarkan kita dari lamunan indah. Realitinya kita sudah jauh tertinggal di belakang. Kita perlu cari penawar yang dapat mengubati penyakit ini, walaupun pahit untuk ditelan, yang sudah pasti amat mujarab. 

No comments:

Post a Comment