Friday, February 4, 2011

Eksport Pemain Kebangsaan

1) Keputusan FAM untuk menghantar 3 orang pemain bolasepak kebangsaan ke J-League adalah satu tindakan yang bijak dan tepat, sila klik di sini. Walaubagaimanapun, ia bergantung kepada keputusan Persekutuan Bolasepak Jepun [JFA] samaada untuk menerimanya atau pun tidak.

2) FAM merancang untuk menghantar Khairul Fahmi Che Mat, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali bagi tujuan untuk pemilihan oleh beberapa kelab yang bersaing dalam Liga J.

3) Aku beranggapan, ia adalah satu keputusan yang sihat yang jelas mementingkan masa depan bolasepak negara. Sesungguhnya keputusan tersebut adalah langkah yang jelas memandang kehadapan, progresif dan dinamik bagi meningkatkan mutu bolasepak negara. Jelas FAM tidak dibuai dengan kejayaan pasukan kebangsaan merangkul piala AFF Suzuki baru - baru ini.

4) Keputusan tersebut juga berkemungkinan dapat menghalang perpindahan beberapa pemain kebangsaan ke liga negara jiran, terutama liga Indonesia, memandangkan liga Indonesia bukanlah liga yang jauh lebih baik berbanding liga Malaysia. Dengan mendedahkan beberapa pemain negara di dalam liga yang jauh lebih baik, contohnya Liga J, bakal meningkatkan mutu permainan pemain negara. Ia bakal menghasilkan pemain yang jauh lebih baik yang bakal meletakkan "benchmark" kepada pemain kebangsaan yang lain, yang akhirnya bakal meningkatkan mutu bolasepak negara.

5) Memandangkan terdapat kegagalan beberapa bekas pemain kebangsaan dalam meneroka peluang bermain di liga Eropah, Liga J dilihat berupaya menengahkan peluang kepada bakat tempatan untuk meningkatkan kualiti pemain kebangsaan. Malah, Liga J mendapat tempat dan menarik minat beberapa kelab Eropah untuk mencari bakat - bakat baru untuk diketengahkan di liga Eropah, selain dari liga - liga Amerika Selatan dan Afrika. Untuk makluman, benua Afrika merupakan pasaran kedua besar selepas Amerika Selatan dalam mengeksport pemain ke pasaran Eropah.

6) Dengan kegagalan beberapa langkah FAM sebelum ini, termasuklah membenarkan pemain import bermain di liga Malaysia, yang jelas gagal meningkatkan kualiti bolasepak negara. Maka keputusan untuk mengeksport pemain kebangsaan bermain di liga luar adalah tindakan yang jelas tepat dan bijak.

7) Selepas berjaya menakluk Asia Tenggara, maka matlamat Malaysia haruslah terarah untuk menakluk benua Asia pula, ataupun sekurang - kurangnya dapat bersaing dengan kuasa - kuasa besar bolasepak Asia dan mungkin suatu hari nanti Malaysia dapat layak ke Piala Dunia.

8) Inilah matlamat yang harus FAM impikan, yang bukan hanya sekadar menjadi jaguh kampung.

No comments:

Post a Comment