Sunday, March 13, 2011

Politik Hasad Dengki - Modal Politik Zaman Sekarang

1) Orang Melayu memang terkenal sebagai bangsa yang mempunyai sifat cemburu dan hasad dengki yang tinggi. Sifat tersebut secara jelas dan terbuka diadaptasikan dalam dunia politik Malaysia secara meluas.

2) Untuk menarik minat dan perhatian orang ramai, ahli politik telah memainkan unsur cemburu dan dengki dalam modal politik masing - masing. Sebagai contoh, Anwar Ibrahim telah menuduh anak - anak Tun Dr. Mahathir telah memperoleh kekayaan ketika bapanya menjadi PM. Beliau telah menggambarkan betapa mewah dan kayanya Mokhzani [anak Tun Dr. M] sehinggakan beliau telah menjadi antara 20 orang terkaya di Malaysia. Sedangkan beliau terlupa terdapat 17 orang lagi dari kalangan 20 orang tersebut yang merupakan bukan dari keturunan Melayu. Ini hanya bertujuan untuk menaikkan perasaan cemburu dan hasad dengki di kalangan rakyat Malaysia [terutama sekali bangsa Melayu], dengan menggambarkan kejayaan dan kekayaan yang dikecapi bukanlah atas titik peluh beliau, tetapi kerana beliau anak PM.

3) Rumah Nik Aziz [yang buruk] pula sering dibandingkan dengan rumah - rumah menteri UMNO / BN [yang besar dan mewah], beliau sering digambarkan sebagai seorang yang "low profile" sebagai perbandingan dengan pemimpin parti pemerintah. Disebabkan oleh desakan dan dakyah oleh pemimpin politik pembangkang dan juga dari penyokong parti pembangkang, maka rata - rata orang Melayu dan rakyat Malaysia yang lain telah termakan dengan dakyah tersebut. Kenapa mereka boleh termakan dengan dakyah tersebut? Ia jelas disebabkan oleh perasaan hasad dengki yang menebal dalam diri masing - masing, lalu mereka gagal berfikir. Terima bulat - bulat tanpa soal selidik, tanpa cuba mendengar dari sebelah pihak yang satu lagi, lalu tenggelam dibuai kepercayaan yang didorongi oleh perasaan hasad dengki tersebut. Akhirnya, mereka telah membenarkan diri dibohongi oleh segala fitnah dan dakyah manusia yang jelas cemburu yang mempunyai niat di sebaliknya.

4) Perasaan bangga dan bersyukur sedikit sebanyak telah terhakis dek oleh perasaan cemburu dan dengki tersebut. Inilah faktor yang sering menghalang pembangunan bangsa Melayu, yang menghalang orang Melayu untuk berjaya. Jika terdapat orang Melayu yang berjaya di kalangan kita, akan terdapatlah di kalangan kita yang cuba menggagalkan usaha sahabat sebangsa kita tersebut. Bermacam - macam cara bakal dilakukan, samaada secara halus atau secara kejam. Ilmu hitam adalah salah satu caranya jika cara halus gagal.

5) Ia telah mengingatkan ku tentang satu kisah yang pernah berlaku di kampung ku, terdapat dua jiran yang sama - sama berniaga ikan. Suatu hari isteri jiran tersebut telah mengalami satu penyakit misteri, lalu beliau telah pergi mendapatkan ubat dan nasihat dari bomoh. Bomoh tersebut telah mendakwa penyakit yang dihadapi oleh isteri beliau disebabkan oleh perbuatan orang yang cemburu akan kejayaan mereka. Lalu tanpa berfikir panjang beliau telah menuduh jiran beliau yang bertanggungjawab menyebabkan isteri beliau sakit. Maka bermulalah episod bermasam muka antara mereka, sehinggakan jiran beliau tidak lagi sanggup melalui jalan yang berhadapan rumah beliau. Akhirnya jiran beliau serta jiran - jiran yang lain telah membuat jalan baru yang tidak melalui hadapan rumah beliau. Arwah telah kembali ke Rahmatullah ketika dalam keadaan permusuhan dengan jiran - jirannya yang lain.

6) Malah Datuk Seri Rafidah Aziz ketika cuba menghalang pendedahan senarai orang yang mendapat permit AP untuk penjualan kereta import, beliau telah mengugut akan turut mendedahkan nama anak Tun Dr. Mahathir yang turut tersenarai di kalangan orang yang mendapat permit AP tersebut. Ini hanya sekadar bertujuan untuk menutup kelemahan dan kesilapan beliau sendiri, bahawa sebenarnya terdapat ramai di kalangan yang mendapat AP tersebut merupakan kenalan rapat beliau yang terdiri dari bekas kakitangan beliau yang jelas merupakan Ali Baba sahaja.

7) Inilah polemik yang melanda orang Melayu ketika ini. Kita sering menggunakan alasan dengan menuduh orang lain untuk menutup kesalahan diri sendiri. Elemen hasad dengki dan provokasi cemburu bakal digunakan untuk menutup kesalahan diri sendiri. Maka orang Melayu akan mudah terpengaruh dengan dakyah tersebut kerana bangsa Melayu memang terkenal mempunyai perasaan hasad dengki dan cemburu yang amat tebal dalam diri.      

No comments:

Post a Comment