Monday, April 26, 2010

Pilihanraya Kecil Hulu Selangor - Suatu Renungan

1) Seharusnya keputusan pilihanraya kecil Hulu Selangor baru - baru ini perlu menjadi landasan kepada BN. Walaupun kembali merampas parlimen Hulu Selangor daripada PKR, BN tidak boleh terlalu yakin dengan tren pengundi sekarang, jauh sekali dari bongkak atau takbur.

2) Isyarat yang telah ditunjukkan oleh pengundi Hulu Selangor boleh digambarkan secara keseluruhannya bagi masyarakat Malaysia. Sudah pasti BN perlu bekerja keras lagi, kerana masih banyak lagi ruang kelemahan yang perlu ditutup.

3) Kelemahan yang paling jelas ialah, jumlah undi kaum Cina kepada PKR yang telah bertambah berbanding pilihanraya sebelum ini. Apa yang dapat disimpulkan, sentimen atau pola undi kaum Cina ini masih tidak berubah, malah sebaliknya menunjukkan peningkatan undi kepada PKR. Manakala undi kaum Melayu dan India telah menunjukkan peningkatan terhadap BN. Ini merupakan isyarat jelas bahawa keyakinan masyarakat Melayu dan India terhadap BN di bawah kepimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak.

4) Apa yang harus BN / MCA lakukan ialah kembali mendekati masyarakat Cina dan cuba menyelami masalah sebenar kaum Cina ini sehinggakan undi mereka telah banyak diberikan kepada PKR.

5) Berdasarkan pemerhatian aku, terdapat beberapa faktor yang harus diperhalusi oleh BN, ianya seperti berikut:

  • Isu - isu berbaur rasis yang dimainkan oleh PKR bagi mendapat undi atau cuba menjadi popular, terutama sekali parti DAP dan beberapa ahli politik PKR, yang telah berjaya memesongkan pandangan kaum Cina terhadap BN.
  • Kurangnya pemahaman mengenai dasar - dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan oleh kaum Cina mungkin disebabkan oleh kelemahan badan perhubungan awam atau badan penerangan BN/MCA yang gagal berfungsi atau faktor PKR / DAP yang berjaya memesongkan perhatian kaum Cina.
  • Tahap pemulihan ekonomi negara yang masih belum benar - benar dirasai oleh semua kaum termasuk kaum Cina.
  • Faktor calon (mungkin dengan meletakkan calon dari kaum Cina akan dapat menambat hati kaum Cina untuk kembali mengundi BN)
  • Persepsi kaum Cina, bahawa agihan kekayaan atau kek ekonomi negara yang masih belum adil atau sama rata.
  • Kelemahan jentera BN terutama MCA dalam menawan hati pengundi Cina ketika berkempen.
  • Perubahan pucuk pimpinan MCA yang masih baru dan masih belum benar - benar terbukti berkesan disebabkan tarikh pilihanraya yang terlalu dekat dengan tarikh perlantikan pucuk kepimpinan baru MCA.

6) Data yang aku nyatakan di atas hanyalah hasil dari pandangan mata kasar ku serta pandangan peribadi ku, aku percaya BN pasti mempunyai data yang lebih tepat dan sudah tentu post mortem akan dilakukan oleh pucuk kepimpinan parti bagi mengenal pasti punca - punca serta arah tuju parti bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan pusat.

7) Peluang dan indikasi yang telah ditunjukkan oleh pengundi Hulu Selangor harus menjadi landasan kepada BN bagi menghadapi pilihanraya kecil seterusnya dan yang paling penting sekali pada pilihanraya umum ke-13 nanti.

8) Apa pun, aku ucapkan tahniah sekali lagi kepada BN kerana berjaya merampas kembali parlimen Hulu Selangor. Diharapkan kemenangan ini tidak membuatkan BN kembali bongkak serta sombong seperti yang telah berlaku sebelum ini.

No comments:

Post a Comment