1) Baru sudah berbicara dengan saudara Najieb sebentar tadi. Seperti biasa tajuk perbualan kami banyak berkisar tentang soal politik, agama, teologi, serta isu - isu lain lagi.
2) Salah satu perkara yang kami berdua bersetuju ialah kegagalan berfikir secara matang di kalangan masyarakat ketika ini, kegagalan ini sering berlaku kepada masyarakat kita dalam membuat analisa dan andaian tentang beberapa isu yang sering berlaku dalam dunia politik Malaysia termasuklah isu keputusan hakim mahkamah tinggi melepaskan Anwar Ibrahim dari tuduhan meliwat [merogol] Saiful Bukhari.
3) Aku berpendapat hakim berjaya berfikir secara matang lalu membuat keputusan yang jelas rasional. Beliau berjaya membuat sempadan antara rasionaliti dengan perasaan. Fakta yang ditekankan ialah, beliau tidak boleh hanya bergantung kepada hujah saksi pendakwa iaitu saudara Saiful sendiri, yang sudah tentu bias. Malah pendakwa juga gagal mengemukakan bukti yang menunjukkan perbuatan paksaan dari pihak tertuduh. Walaupun prosiding mahkamah sering diganggu dengan beberapa siri penangguhan disebabkan tuntutan pihak tertuduh, malah pihak tertuduh juga cuba memohon untuk menukarkan beliau atas tuduhan bersikap bias dalam pengadilan beliau ketika prosiding berjalan. Sudah pasti ia akan memberi impak secara emosional terhadap keputusan hakim, walaubagaimana pun beliau berjaya menggariskan sempadan antara emosi dengan rasional. Ini merupakan salah satu contoh kematangan berfikir dalam penghakiman oleh seorang hakim yang harus memegang prinsip keadilan dalam setiap keputusan beliau.
4) Perbualan kami juga berkisar tentang polemik politik yang sedang melanda negara ketika ini. Tentang asas atau sebab keputusan yang diambil oleh beberapa pihak tertentu termasuklah keputusan beberapa bekas ahli dan pemimpin UMNO untuk menganggotai parti DAP. Pada aku mereka ini jelas masih kurang matang dan tidak ikhlas dalam perjuangan parti ketika masih berada dalam UMNO. Teras atau alasan yang diberi ialah korupsi yang berlaku dalam UMNO yang membuatkan mereka keluar dari UMNO. Adakah mereka sebenarnya yang kecewa kerana gagal mendapat jawatan dalam parti? Adakah jawatan yang disandang merupakan jawatan yang boleh dibangga - banggakan? Adakah jawatan yang disandang merupakan hak mutlak yang bukan merupakan tanggungjawab yang diamanahkan? Yang harus dipegang selama - lamanya. Kalau inilah alasannya, pada aku mereka ini masih lagi kurang matang dalam berfikir sebagai seorang pemimpin politik serta masih kebudak - budakkan dalam membuat perhitungan politik masing - masing. Lainlah jika keputusan yang dibuat itu atas alasan UMNO sudah lari dari matlamat perjuangan asalnya iaitu memperjuangkan bangsa, agama dan negara, maka alasan yang diberi boleh diterima pakai serta amat kukuh.
5) Begitu juga dengan sikap yang tidak rasional dan tidak praktikal oleh kebanyakkan masyarakat Malaysia ketika ini. Apa yang diinginkan ialah membina syurga di atas muka bumi ini yang jelas merupakan pandangan yang terlalu idealistik, yang tidak praktikal, "impossible" dan tidak rasional. Pemimpin yang diinginkan pula mestilah bersifat sempurna, tiada cacat cela sama sekali atau sekurang - kurangnya mestilah bersifat seperti seorang nabi. Ia jelas tidak mungkin dapat dicapai kerana setiap yang sempurna itu hanya ada pada Allah dan hanya datang dari Beliau.
6) Islam itu ad-din [way of life] yang merangkumi undang - undang, sistem politik, sosial, ekonomi, ibadah dan perbuatan kita seharian. Ia berperanan besar dalam membentuk insan yang kamil, membentuk masyakat yang ideal, menitik beratkan pembentukan moral dan kerohanian sesebuah masyarakat, yang seterusnya membentuk nilai ketamadunan yang kukuh. Meletakkan undang - undang dan demokrasi sebagai paksi pembentukan nilai ketamadunan seolah - olah mengenepikan Islam itu sebagai ad-din [way of life].
No comments:
Post a Comment