Saturday, July 25, 2015

Prinsip dan Perjuangan

1) Aku dibesarkan ketika era Tun Dr Mahathir jadi PM Malaysia. Arwah ayah merupakan salah seorang penyokong dan peminat beliau. Disebabkan itulah aku jadi penyokong kuat UMNO, berpunca dari didikan Tun tentang perlunya berlaku jujur dalam perjuangan kita. Sebenarnya banyak yang telah dipelajari dari buku - buku beliau. Keberanian dalam menyatakan kebenaran dan berpegang kepada prinsip juga merupakan didikan beliau.


2) Apa yang telah dilalui dan aku dapati, betapa sukarnya untuk kita melalui ranjau yang datang ketika mempertahankan prinsip yang dipegang. Ini menuntut kecekalan hati, bersikap objektif, berani dan juga perlu istiqamah.


3) Pendirian ini dapat mendedahkan wajah sebenar orang di sekeliling kita, wajah sebenar adik - beradik, kawan - kawan dan juga lawan. Yang penting kita haruslah jujur dan percaya sepenuhnnya apa yang diperjuangkan.


4) Jika diamati dan dibandingkan dengan polemik yang berlaku di Negara ketika ini, boleh didapati dengan jelas, siapakah pemimpin yang berjiwa rakyat, siapakah yang tak jujur yang korup, yang bermain selamat, yang pentingkan diri sendiri, yang berjuang untuk diri sendiri, yang bukannya berjuang untuk parti yang diwakili.


5) Demi agama, bangsa dan Negara hanyalah slogan politik demi masa depan diri sendiri. Benarlah apa yang pernah diucapkan oleh bekas president Amerika Abraham Lincoln " nearly all men can overcome adversity, but if you to test a man's character, give him power". Inilah realiti yang berlaku kepada Negara kita ketika ini. Seperti yang pernah dinyatakan oleh Tun Dr Mahathir sebelum ini, Pak Lah dan Najib nampak begitu baik ketika sebelum jadi PM, tetapi telah bertukar jadi sebaliknya sebaik sahaja mendapat kuasa. Ia jelas mendedahkan kepada kita betapa rendahnya akhlak pemimpin kita, betapa rendahnya prinsip masing - masing, hanya kerana wang dan kuasa.


6) Yang pastinya setiap daripada kita akan jatuh suatu masa nanti, bila sampai masanya kelak, kita akan diadili. Najib bakal menempuhinya suatu masa nanti. Kesalahan yang dilakukan oleh beliau teramat berat, yang wajar dihukum, dan aku tak akan terkejut jika beliau diadili dan dihukum setimpalnya.


7) Ingin aku sampaikan sajak di bawah agar kita kembali merenung kembali hujung dan pangkal perjalanan hidup kita. Seperti kata pepatah Melayu, tersesat jalan kembali ke pangkal jalan.


Negara-ku Malaysia, Tanahair-ku, Tanah di mana sembilan puluh tahun dahulu
Darah tumpah dan aku dilahir
Di lahir sebagai anak bangsa yang dijajah
Aku membesar mempertuankan orang asing
Terhina dan dihina
Bangsa yang serba kekurangan
Tinggal dipondok berbumbung atap nipah
Berdinding, berlantai kayu
Namun aku lebih bahagia dari ramai bangsaku
Mereka tinggal di pondok robek, tiris apabila hujan
Tanpa pili air tanpa lampu letrik
Anak mereka berkaki ayam, berkudis
Demam panas dan kadang-kadang meninggal
Aku survive, aku ke sekolah, aku ke universiti
Nasib aku lebih baik
Allah Subhanahu Wataala kesian kepada aku
Setelah dijajah oleh satu bangsa, dijajah pula oleh dua bangsa lagi
Aku bertanya akan bangsaku selalunya dijajah orangkah?
Alhamdullilah, berkat kesedaran, berkat perjuangan, berkat perpaduan
Bangsaku dibebas, merdeka
Apakah merdeka hanya bermakna tidak dijajah orang
Apakah merdeka bermakna terus merana
Tidak, tidak, tidak
Merdeka bermakna kemajuan
Kemajuan sehingga berdiri sama tinggi
Duduk sama rendah dengan bekas penjajah dan bangsa lain
Bahkan mungkin lebih tinggi
Politik yang menyelamat dahulu
Terus membela bangsa
Negara dibangun, bangsa dibangun, agama di muliakan
Kemudian…
Malang dan sedih,
Bangsa yang berjiwa kental, bersemangat besi
Diserang oleh nafsu dan perasaan tamak
Aku dapat apa dari kemerdekaan tanya mereka?
Mana bahagian aku?
Dan semangat pun menjadi luntur, tidak terdaya mengawal nafsu

Apa makna senang jika untuk mendapat sesuatu begitu susah
Dan nafsu dan perasaan tamak pun di peralat dan disogok oleh orang-orang politik dan orang kaya
Bangsa yang merdeka
Bangsa yang mulia
Sekarang sanggup menjual hak yang sedikit
Hak memilih, hak mengundi
Untuk mendapat kesenangan tanpa usaha, kesenangan yang sedikit
Maruah dijual
Bangsa dijual
Tanahair dijual
Segalanya dijual
Untuk nikmat yang tidak kekal, nikmat yang sementara yang sedikit sahaja
Politik yang menyelamat
Menjadi politik yang menghancur
Pemimpin semakin tamak
Untuk tempat dan kedudukan tinggi
Perbuatan yang haram dihalalkan
Nama Allah diperalatkan, dijual untuk nikmat yang sementara di dunia
Akan kembalikah bangsaku
Menjadi bangsa yang dijajah, dihina dan diperhambakan
Wahai bangsaku
Begitu mudahkah kamu lupa
Aku akan pergi tidak lama lagi
Dapatkah aku pejam mata dan hembus nafas terakhir
Kerana bangsaku
Negaraku
Masih mulia
Masih bermaruah
Masih dipandang tinggi
Atau mataku terbeliak
Nafasku tersesak, terhenti, kerana segala yang diperjuangkan luput ditelan nafsu
Ya Allah lindungilah bangsaku
Sedarkanlah mereka
Sedarkan mereka bahawa Engkau tidak akan mengubah nasib bangsa
Melainkan bangsa itu sendiri cuba mengubahnya
Mengubah sendiri, membendung nafsu
Kerana Allah
Kerana agama
Kerana bangsa
Kerana negara
Biarlah aku pergi
Mata terpejam rapat
Nafas perlahan berhenti…


DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Julai 10, 2015

No comments:

Post a Comment