1) Muzik adalah kurniaan tuhan kepada manusia, muzik boleh merapatkan jurang yang telah renggang dan sebaliknya. Boleh menenangkan hati yang sedang lara, marah, sedih dan pilu hatta boleh menghilangkan mengantuk sekali pun. Malah, ada pepatah orang putih mengatakan "no music no life".
2) Jika Amerika terkenal dengan muzik jazznya, Indonesia dengan keroncongnya, Jamaica dengan reggaenya, Brazil dengan sambanya, Argentina dengan tangonya, Sepanyol dengan flamenconya dan Eropah dengan klasikalnya, bagaimana pula dengan Malaysia? Apakah jati diri muzik Malaysia sebenarnya?
3) Muzik secara dasarnya merupakan salah satu cabang budaya kepada sesuatu bangsa dan negara. Begitulah yang berlaku kepada muzik blues, yang secara asasnya mempunyai banyak pengaruh termasuklah muzik Arab. Ini kerana secara sejarahnya golongan hamba abdi di Amerika berasal dari Barat Afrika dan Utara Afrika yang suatu ketika dahulu pernah dijajah oleh empayar Islam. Maka secara tidak langsung pengaruh budaya Arab dan muziknya akan meresap kedalam budaya orang kulit hitam tersebut. Begitu juga dengan orang Melayu yang mula memeluk agama Islam pada abad ke12 hasil daripada pengembangan syiar Islam yang dibawa oleh pedagang Arab Islam dan India Islam, maka secara tidak langsung budaya dan pengaruh Arab juga akan meresap kedalam budaya Melayu.
4) Johor merupakan antara negeri di Semenanjung Malaysia yang banyak mempunyai pengaruh Arab (Sekadar pandangan kasar sahaja), malah muzik Ghazal yang popular di daerah Muar dan Batu Pahat mempunyai banyak pengaruh Arab/Parsi, begitu juga dengan Tarian Zapin yang diilhamkan oleh peranakan Arab yang berasal dari Yaman. Manakala tarian Kudang Kepang dan Wayang Kulit Jawa pula mempunyai banyak pengaruh Jawa.
5) Suatu ketika M.Nasir pernah cuba mempelopori muzik Melayu moden yang dinamakan Muzik Nusantara dengan memperkenal elemen - elemen lirik yang penuh penghayatan, teliti, maksud yang begitu mendalam dan mempunyai nilai sastera yang agak tinggi serta lirik berkiasan dengan muzik yang lebih "rugged", bermelodi, susunan muzik yang baik digabungkan dengan alat - alat muzik tradisional ternyata merupakan hasil yang terbaik setakat ini. Sesungguhnya M. Nasir merupakan salah satu mentor saya dalam muzik, malangnya Malaysia tidak seperti Indonesia yang mempunyai ramai artis dan pemuzik baik seperti beliau.
6) Mengapakah perkara ini terjadi? Adakah faktor sekeliling dan "exposure" yang kurang menyebabkan perkara ini terjadi? Adakah artis Malaysia kurang "enthusiasm" untuk menjadi yang terbaik? Kalau kita lihat kembali sejarah kerjaya M.Nasir, Kumpulan Search, Wings, Sweet Charity, Lefthanded dan ramai lagi, kebanyakannya bermula daripada bawah. Sebagai contoh, Kumpulan Search yang berasal dari Johor, datang ke Kuala Lumpur untuk menjadi pemuzik dan pernah bermain di Hard Rock Cafe Taman Tun Dr. Ismail ketika mula - mula bertapak di industri muzik Malaysia, kemudian sedikit demi sedikit menjadi recording artis sehinggalah berjaya seperti sekarang. Pendek kata, mereka ini telah pun minum garam sebelum berjaya.
7) M.Nasir pernah berkata, artis dan pemuzik sekarang tiada "soul". Ini berbeza dengan artis dan pemuzik dahulu dimana karya yang dihasilkan merupakan periuk nasi mereka, jadi karya yang dihasilkan akan lebih "soul". Adakah ini salah satu faktor yang menyebabkan industri muzik kita lesu? Adakah kemampuan alat - alat muzik dan studio yang lebih moden juga menyebabkan kreativiti pemuzik Malaysia terbatas? Adakah sokongan yang kurang dari pihak kerajaan juga antara penyebabnya?
8) Apakah yang harus kita lakukan untuk mengembalikan sinar terhadap industri muzik kita? Mungkinkah kita perlu membudayakan kembali nilai - nilai budaya dahulu yang telah kita tinggalkan?Perlukah kita kembali terapkan nilai pemahaman dan teori muzik yang lebih mendalam terhadap pemuzik - pemuzik dan artis - artis baru?
9) Saya percaya, ramai di luar sana yang berminat untuk menjadi artis dan pemuzik yang berjaya. Lihatlah apa yang berlaku kepada program - program realiti tv seperti Akademi Fantasia yang mendapat sambutan yang baik. Tetapi soalnya sekarang adakah program - program tersebut benar - benar menghasilkan artis - artis dan pemuzik yang baik? Perkara masih menjadi tanda tanya ialah masih tiada seorang pun benar - benar layak menjadi artis/penyanyi yang baik dan berdaya saing serta berdaya tahan dengan kehendak industri muzik keseluruhannya.
10) M. Nasir pernah berkata, artis - artis Malaysia banyak menciplak artis - artis luar terutama sekali dari Barat sehinggakan tiada "originality" dalam karya masing - masing. Tidak seperti artis - artis dan pemuzik Indonesia yang mana kebanyakannya mempunyai nilai - nilai tersendiri yang berbeza dengan yang lain. Malah, saya dapati ramai juga artis - artis Malaysia yang meniru bulat - bulat artis dan pemuzik Indonesia tersebut.
11) Industri muzik yang lesu dengan tahap penjualan album yang rendah mungkin juga antara penyebabnya. Suatu ketika dahulu Kumpulan Search dan Riahan pernah menjual album sehingga sejuta unit (Tidak termasuk jumlah yang telah dicetak rompak), tetapi malangnya penjualan album oleh artis sekarang tidak pun boleh melebihi 20,000 unit. Fenomena yang berlaku ini bukan hanya berlaku terhadap industri muzik Malaysia, malah industri muzik Barat dan dunia juga menghadapi masalah yang sama. Malah syarikat rakaman besar dunia seperti EMI yang suatu ketika dahulu mempunyai ramai artis - artis atau pemuzik besar di bawah naungannya seperti Beatles, Pink Floyd, Queen dan lain - lain juga mendapat tempias oleh teknologi digital seperti teknologi mp3 dan mp4 yang mana video dan lagu boleh dimuat turun secara berleluasa tanpa perlu membayar royalti kepada artis dan syarikat rakaman tersebut.
12) Nampaknya artis sekarang perlu mencari pendekatan baru, baru - baru ini Amy Search pernah mempelopori penjualan lagu secara maya bagi mengikut kehendak industri muzik zaman sekarang. Sesungguhnya ianya merupakan idea yang baik sekali, tetapi saya kurang pasti adakah pendekatan beliau itu benar - benar berjaya.
13) Akhir sekali, marilah kita boleh renung kembali maksud yang ingin disampaikan oleh lagu ini.
14) Sekian.
No comments:
Post a Comment