1) Hari ini genap 53 tahun Malaysia merdeka, soalnya disini, apakah kita benar - benar merdeka dari maksud sebenarnya. Tepuk dada tanyalah selera.
2) Tempoh 53 tahun sebenarnya amatlah pendek jika dibandingkan dengan tempoh negara tercinta ini dijajahkan selama 450 tahun. Tetapi malangnya bibit - bibit dan tanda - tanda negara akan dijajah kembali sedang ditunjukkan oleh Allah. Bergantung kepada kita samaada dapat melihatnya atau tidak sahaja. Orang yang memahami dan mendalami erti sejarah sahaja akan dapat melihatnya. Biarlah sejauh mana ilmu kita hatta sampai ke Phd sekali pun belum tentu kita akan dapat memahami erti sejarah jika kita gagal menghayati dan berilmu dengannya.
3) Kejayaan yang dicapai oleh negara selama 53 tahun kemerdekaan ini adalah kejayaan yang masih lagi muda, bukan kejayaan yang matang. Oleh itu didapati masih banyak lagi ruang - ruang yang perlu ditampal oleh kita bagi memenuhi isi kemerdekaan. Soal penyatuan bangsa, soal perhubungan antara bangsa, soal kemajuan bangsa, soal keterbukaan, soal berkorban untuk kepentingan semua hatta soal agama sekali pun kita masih lagi kurang matang.
4) Perkara yang dinyatakan ini adalah merupakan soal hakikat mengenai kejayaan bangsa dan negara. Perkara yang harus dilaksanakan dahulu sebelum mencapai kemerdekaan mutlak. Haruslah kita pelajari kejayaan negara Jepun dan Jerman yang bangkit dari abu kekalahan dan kehancuran selepas tewas perang dunia ke2. Semuanya hasil dari jati diri yang telah diterapkan oleh peradaban serta budaya yang murni.
5) Benar kata orang, kadang - kadang kita perlu dihantuk baru dapat berfikir. Sejarah pahit yang dilalui oleh kedua - dua negara tersebut sebenarnya memberi motivasi yang tinggi kepada bangsa tersebut untuk terus memacu kejayaan. Hasilnya dapatlah kita lihat ketika ini.
6) Soalnya di sini, adakah Malaysia benar - benar belajar dari sejarah kemerdekaan dan sejarah ketika dijajah dahulu? Hasil yang aku nampak ketika dari pengamatan kasar, aku dapati sebenarnya kita masih belum benar - benar merdeka dari erti kata sebenar. Kita lebih diulit oleh sikap kepartian dan diri penuh dengan semangat politik sempit. Soal politik sempit yang lebih mendahului kita dari soal yang hakikat.
7) Soal kemerdekaan telah disempitkan dengan sudut pandangan politik yang sempit. Hasilnya boleh didapati di kalangan masyarakat kita ketika ini, malah ianya bertambah buruk lagi. Akhirnya, aku percaya suatu masa nanti kita akan kembali dijajah, bukan dijajah oleh erti kata sebenar tetapi pemikiran yang telah dijajah. Suatu perkara yang amat sukar diubati, malah lebih sukar untuk diatasi kerana ianya bersifat jati diri yang tersemat kukuh dalam diri.
8) Memahami sejarah adalah suatu perkara yang berbeza dengan menghayati sejarah, kita sering keliru dengan unsur menghayati dengan memahami. Dua perkara yang berbeza, memahami belum bererti menghayati, seperti soal syariat dan hakikat.
9) Perkara ini sering membelengu masyarakat kita, maka oleh itu, kita sering membuat pertimbangan hasil dari pandangan yang sempit, gagal memahami maksud sesuatu perkara tersebut dari sudut yang hakikat. Inilah yang berlaku kepada masyarakat kita ketika ini.
10) Akhir sekali, aku ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut merdeka kepada negaraku yang tercinta ini. Semoga bulan yang dirahmati oleh Allah ini dapat memberi syafaat kepada kita tentang erti kemerdekaan yang hakikat.
Sama-sama jugalah kita berjuang untuk memerdekakan sistem pendidikan negara ini supaya bebas dari elemen-elemen anti-nasional.
ReplyDelete