Sunday, May 17, 2009

Hari Guru

Aku mempunyai 2 orang kakak yang bernama Mimi Shahrizad dan Norida Sabarina yang berkejaya sebagai guru. Mungkin mereka tidak mengetahui bahawa aku amat memandang tinggi kerjaya sebagai guru selain dari kerjaya sebagai pemimpin dan anggota keselamatan. Guru merupakan pendidik anak bangsa, jatuh bangun anak bangsa dan negara terletak ditangan guru, kalau hasilnya kurang baik maka guru juga boleh dipertanggungjawabkan, selain dari itu faktor - faktor lain juga harus diambil kira. Aku masih ingat lagi ketika di alam persekolahan dimana arwah bapa pernah manasihati agar mencium tangan guru ketika bersalaman. Arwah bapa pernah berkata bahawa beliau berharap anaknya dapat melanjutkan pelajaran kemenara gading untuk mendapatkan ilmu sebagai matlamat utama, sijil atau ijazah hanyalah susulan atau indikasi tahap pencapaian kita dalam pelajaran, selain itu ianya amat berguna sebagai "tools" penting ketika dialam perkerjaan.

Ketika ini aku dapati masyarakat seperti tidak memandang tinggi kerjaya guru, malah terdapat beberapa isu yang digembar - gemburkan oleh media kita mengenai salah laku guru terhadap anak murid. Guru dipandang amat serong sekali sejak itu, malah sesetengah daripada masyarakat menganggap kerjaya guru merupakan kerjaya yang mempunyai banyak masa terluang dan kurang menarik. Aku berpendapat sebaliknya, malah aku sendiri melihat kakak ku melaksanakan dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab sehinggakan sering kali membawa pulang kerja sekolahnya kerumah untuk disiapkan. Bagi sesetengah orang, kerjaya guru hanyalah mendidik, mendidik, mendidik............ itulah saja kerjanya, tiada apa yang boleh dibanggakan. Percayalah, kalau anak murid itu menjadi penjenayah gurulah yang akan dipersalahkan dahulu, bukannya masyarakat setempat itu atau ibu bapanya. Tetapi kalau anak murid itu berjaya dialam persekolahan atau dialam perkerjaan, maka gurulah golongan yang terakhir sekali akan dipuji.

Aku tidak nafikan yang aku agak nakal ketika dialam persekolahan dahulu, bermacam - macam denda dan hukuman telah aku lalui, sedikit sebanyak telah mengajarku tentang erti kehidupan, mengapa kita harus mempunyai disiplin dalam hidup? Apakah kesannya terhadap diri sendiri dan masyarakat secara umumnya akibat dari kesalahan kita? Inilah roda - roda kehidupan yang harus kita lalui, disiplin dan undang - undang sekolah adalah satu contoh pengajaran yang amat baik terhadap murid. Maka setelah mereka pergi kealam masyarakat dan dewasa mereka akan lebih berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan masyarakat. Maka terhasilah satu kelompok masyarakat yang berdisiplin dan terkehadapan dalam segala - segi.

Inilah hasil yang dilahirkan oleh guru dimana kebanyakan masyarakat tidak nampak. Guru haruslah menjadi pendidik yang jujur terhadap anak bangsanya, guru haruslah ikhlas dalam mendidik anak bangsanya, guru haruslah mempunyai sikap bertanggungjawab ketika mendidik anak bangsanya, guru haruslah tekun dalam mendidik anak bangsanya dan gurulah tempat melentur buluh untuk anak bangsanya.

Akhir sekali, ingin aku ucapkan selamat hari guru kepada semua guru - guru di negaraku yang tercinta ini. Sekian.

1 comment:

  1. Saya memang menyokong pandangan saudara, tentang kerjaya dan peranan yang besar yang dimain oleh kalangan guru.
    Sehingga anak saya pun memasuki jurusan yang sealiran guru.

    ReplyDelete