1) Bila kita tidak suka sesuatu perkara, kita sering memberi pandangan kita dengan mengaitkan ia dengan hukum hakam Islam bagi menutup mulut pandangan seseorang yang kita tidak suka.
2) Pada aku, perbuatan tersebut adalah merupakan perbuatan yang tidak bertanggungjawab sama sekali. Perbuatan yang jelas akan memberi kesan buruk kepada Islam. Akhirnya Islam akan dipandang buruk oleh orang bukan Islam, yang akan menganggapkan Islam adalah agama yang terlalu ketat dan tidak mudah seperti yang digembar - gemburkan sebelum ini. Jelas di sini, keburukan terhadap Islam telah dilakukan oleh umatnya sendiri, bukannya dari golongan yang bukan beragama Islam.
3) Adakah salah di sisi Islam, apabila seorang sahabat ingin bergurau dengan sahabat seagamanya dengan memberi pujian atas dasar gurauan, bukan bermaksud pujian dalam erti kata sebenarnya (malah sahabat tersebut memahami erti sebenar gurauannya sebelum ini).
4) Orang Islam sering mengaitkan sesuatu perkara dengan soal hukum halal dan haram, dosa dan pahala apabila kita tidak menyukai sesuatu perkara. Seperti yang telah diperjelaskan sebelum ini, hukum dosa dan pahala, halal dan haram adalah hak Allah. Kita sebagai hambaNya tidak berhak untuk menyentuh bidang kuasa Allah dalam menentukan taklik halal dan haram, dosa dan pahala tersebut. Umat Islam hanyalah berhak menyentuh perkara yang kurang jelas yang merupakan perkara - perkara diantaranya.
5) Tetapi malangnya, sudah terdapat ramai umat Islam yang telah berani menyentuh hak - hak Allah tersebut, golongan - golongan ini terdiri dari golongan - golongan ustaz, ustazah, imam dan golongan ulamak - ulamak plastik yang terdiri dari pemimpin parti - parti politik Islam. Malah ada diantaranya telah berani mengeluarkan fatwa - fatwa sendiri tanpa merujuk majlis fatwa, ianya boleh didapati bila terdapat suatu kelompok dari parti politik PAS yang pernah mengeluarkan kenyataan bahawa "adalah syahidlah seseorang itu jika beliau didapati telah meninggal dunia ketika menentang parti UMNO". Begitu juga yang berlaku kepada amanat Haji Hadi Awang suatu ketika dahulu, yang pernah mengkafirkan saudara seagamanya dari parti UMNO, hasilnya berlakulah tragedi Memali pada tahun 1985 dahulu. Kesannya masih boleh dilihat ketika ini, malah terdapat satu kelompok ekstremis Islam yang bernama Al-maunah yang kononnya memperjuangkan penubuhan negara Islam. Golongan ini telah mengambil pendekatan yang sangat radikal iaitu sanggup melancarkan pendekatan bersenjata untuk menentang golongan yang dikatakan bukan Islam dari parti pemerintah, yang terdiri dari saudara seagama sendiri.
6) Inilah yang berlaku kepada umat Islam ketika ini, di Malaysia mahupun di luar negara. Sesiapa yang tidak sependapat dan dirasakan bertentangan dengan pendapatnya akan dihukum dengan hukuman yang seberat - beratnya. Mengharamkan dan menghalalkan, mendosakan dan mempahalakan sesuatu perkara dan perbuatan yang tidak disukai atau disukai. Jelas disini, kita telah cuba merompak sesuatu yang menjadi hak Allah SAW, dengan cuba menjadi tuhan menggantikan Allah, Nauzubillah.
7) Sedarlah, ujian daripada Allah bukan hanya datang dari bentuk yang menyakitkan sahaja, tetapi juga dalam bentuk yang mengkhayalkan. Bila ilmu agama atau ilmu dunia seseorang itu tinggi, ujian boleh datang dalam bentuk riak, ini telah pun dijelaskan pada perenggan di atas. Tanpa disedari, ketika kita mengejar akhirat kita telah melupai dunia, lalu meninggalkan perkara - perkara dunia yang merupakan fardu kifayah yang sama pentingnya dengan fardu ain. Malah, Islam secara jelas menuntut umatnya mengamalkan kedua - dua fardu tersebut seiringan tanpa ketinggalan salah satunya.
8) Sebaliknya jika diamati, ujian yang berbentuk menyakitkan adalah ujian yang paling mujarab. Boleh dikatakan kebanyakan orang yang pernah melalui ujian perit adalah manusia dan umat yang lebih tunduk kebumi walaupun ketika beliau mendongak bintang di langit, golongan ini adalah golongan yang lebih tawaduk. Tetapi tidak dinafikan, terdapat juga golongan yang masih lupa diri walaupun telah berkali - kali ditimpa ujian yang amat perit dari Allah SAW.
9) Pandangan yang disuarakan adalah merupakan pandangan peribadi ku, ianya sekadar pandangan bukannya fatwa, jauh sekali dari cuba menjadi ulamak atau ustaz mahupun apa - apa jawatan tak rasmi. Ia bukan bertujuan untuk mencari populariti atau menunjuk pandai. Pembaca boleh menyuarakan pandangan masing - masing kerana isu yang diperbincangkan adalah merupakan sudut pandangan seseorang sahaja, bukannya fatwa yang hanya boleh dikeluarkan oleh majlis fatwa sahaja.
10) Kita mungkin tidak menyedari perkara - perkara ini dalam kehidupan seharian kita, tanpa disedari kita telah melanggari hak - hak tersebut. Mungkin artikel ini hanya sekadar boleh menjadi panduan yang bukan berbentuk ilmiah, tetapi sekadar panduan secara kasar sahaja.
No comments:
Post a Comment