Ketika aku buat pertama kali melangkah ke alam asrama pada tahun 1993 bagi sesi persekolah 1993/94, ditemani oleh keluarga ku merupakan saat yang tidak dapat dilupakan ketika sesi pendaftaran pelajar dan asrama. Tersentuh juga hati pada masa mula - mula hendak ditinggalkan oleh keluarga pada ketika itu. Pada bulan - bulan awal hatiku menjadi begitu rindu sekali dengan kampung halaman, malah aku akan menghitung hari sampai kehujung bulan untuk pulang kekampung (ketika itu kami hanya dibenarkan pulang ke kampung sebulan sekali). Pada mulanya aku berasa kekok dengan suasana kehidupan di asrama (cultural shock), kami dilatih untuk menghormati senior - senior dan guru - guru serta warden asrama. Kami diarah agar menegur dengan memberi salam setiap kali berselisih dengan senior atau guru, malah boleh didenda oleh senior, guru atau warden asrama jika arahan tersebut tidak dipatuhi (salah satu special authority yang diberikan kepada senior, jangan salah ertikan dengan raging yang sering berlaku di asrama), ini adalah satu bentuk didikan yang diasuh di asrama.
Aku harus akui, terutama sekali ketika masih lagi di form 4, aku bukanlah rajin dan tekun dalam soal belajar ni, malah sering kali aku ponteng dari pulang ke asrama, aku pernah untuk ponteng ke asrama dan sekolah pergi ke rumah bapa saudara ku (Bapak) di Ayer Hitam, Kedah, lalu membuat keluarga menjadi panik. Pada hujung minggu depannya setelah pulang ke asrama dari rumah bapa saudara ku, aku telah dikunjungi oleh kedua ibu bapaku walaupun arwah ayah kurang sihat untuk menaiki bas ke Alor Setar, tujuannya mungkin hanya sekadar melawat diriku di asrama, untuk kembali memberi rangsangan dan semangat untuk ku supaya rajin belajar. Aku masih ingatlah lagi arwah ayah dan ibu pernah membawaku makan di kedai roti jala di stadium Darulaman, memori tersebut masih kuat tersemat di dalam ingatanku. Pada minggu depannya, aku telah mendapat sepucuk surat dari arwah ayah, dimana beliau di dalam suratnya, memberi semangat dan nasihat kepada ku agar rajin belajar dan tentang pentingnya pelajaran/ilmu kepada ku, mungkin juga beliau risau dengan prestasi pelajaranku dan sikapku yang malas belajar.
Kemudian itu setelah aku menjadi senior (form 5), aku sudah dapat mengadaptasi dengan sausana hidup di asrama. Malah warden juga kurang memberi perhatian kepada kami, mungkin kerana ingin memberi freedom kepada kami untuk tumpuan dan perhatian penuh kepada pelajaran kami. Maka ketika itulah tocang kami naik, apa yang kami lalui ketika menjadi junior dahulu akan diperturunkan pula kepada generasi junior kami. Maka mereka pun terpaksa melalui apa yang telah kami lalui dahulu sebagai junior.
Aku mengambil kursus automotif diesel, jadi oleh itu semua rakan kelas aku merupakan kaum lelaki. Guru kelas aku pada awal persekolahan merupakan guru perempuan (sudah lupa namanya), beliau merupakan guru sains yang kemudiannya berpindah ke sekolah lain, beliau digantikan oleh Pak Mat (nama gelaran) yang merupakan guru subjek matematik. Pak Mat merupakan guru yang tegas tetapi kelakar, beliau sering memberi contoh kelakar ketika mengajar matematik (salah satu sebab membuatkan aku tertarik dengan subject matematik). Ketika form 4, kelas kami berdekatan dengan bilik guru - guru, jadi kelas kami akan sentiasa dilalui oleh kebanyakan murid - murid dan guru - guru, termasuklah murid - murid perempuan. Setiap kali murid perempuan melalui kelas kami, terutama sekali ketika waktu peralihan subject dimana guru masih belum tiba lagi, maka akan kedengaranlah siulan pelajar dari kelas aku (mengoratlah, apa lagi). Sering kali kelas akan menjadi bising ketika itu, kelas cuma akan senyap ketika cikgu Miziana melintasi kelas kami (agaknya terpegun kot dengan kecantikannya). Wajah beliau macam penyanyi Ziana Zain, kami panggil gelar beliau cikgu cun, malangnya beliau tidak pernah mengajar di kelas aku. Kalaulah beliau mengajar di kelas aku, pasti beliau akan menangis punya sebab tak tahan dengan kerenah dan perangai budak - budak lelaki kelas aku. Malah teacher Salmee (guru bahasa Inggeris kelas aku ketika itu) pernah menangis dan tension dengan kerenah atau perangai kami, majoriti kelas aku termasuk aku sekali lemah bahasa Inggeris ketika itu. Teacher Salmee merupakan teacher yang baik dan mengajar dengan bersungguh - sungguh, ia dapat lihat dengan melihat cara beliau mengajar yang nampak bersungguh - sungguh, malah acap kali dapat dilihat beliau akan merungut dan menangis jika pencapaian peperiksaan atau ujian bulanan kami gagal seperti apa yang beliau hajati. Pada aku beliau merupakan guru yang ikhlas, aku terhutang budi kepada beliau, semoga Allah membalas segala jasa baik beliau terhadap kami.
Ketua warden asrama kami ketika itu bernama Pak Man (cikgu Othman), kali terakhir aku berjumpa beliau ialah 2 tahun lepas di Baling, Kedah ketika aku masih bekerja dengan kakak ku (Seti Mahanum). Pak Man masih mampu mengenali aku ketika aku menegur beliau walaupun beliau sudah lupa namaku, aku rasa beliau mungkin sudah pencen ketika ini. Beliau juga seorang guru dan warden yang tegas, ramai diantara kami tidak suka dengan beliau (termasuk aku pada waktu itu), mungkin kerana sikap beliau yang sering berleter dan suka mendenda jika sesuatu masalah atau kesalahan dilakukankan oleh kami. Aku mula tidak suka dengan Pak Man sewaktu pulang dari pekan Alor Setar bagi menemani kakak ku (Mimi Shahrizad) dan ibuku (bonda Salmah) yang datang melawat ke asarama ketika itu. Aku telah pulang lewat dengan tidak sengaja disebabkan bas yang terlalu lewat, lalu aku telah didenda di depan semua student - student lain termasuklah student wanita ketika waktu roll-call, sungguh malu rasanya pada ketika itu. Sebelum itu aku pernah bertemu beliau ketika masih bekerja di Alor Setar pada tahun 2000, sewaktu makan bersama bos aku (Kamarul Ariffin Haji Nordin) dengan kawanku (Brian Teoh) di depan kedai roti arab Stadium Darulaman. Kenangan yang tidak dapat dilupai sudah pasti sewaktu aku masih menuntut di Politeknik Kota Bharu, Kelantan. Ketika itu aku merupakan ketua kelab Kaunseling Politeknik Kota Bharu telah mengadakan lawatan ke UUM disertai semua ahli - ahli kelab yang terlibat, ketika perjalanan kami ke UUM, kami telah bermalam di asrama sekolah, hasil dari pertolongan Pak Man yang masih lagi ketua warden ketika itu. Memandangkan aku dan sahabat ku (Mohd Hafis Md. Rani) merupakan bekas pelajar sekolah tersebut, kami telah diberi kebenaran menginap selama 1 malam di asrama. Kerjasama dan nasihat beliau tidak dapat dilupakan, semoga beliau menempuh alam pencen dengan tenang dan bahagia hendaknya.
Pengetua aku ketika itu bernama cikgu Abd. Rahman, beliau merupakan kaki bola. Ketika itu, pasukan bolasepak Kedah merupakan antara pasukan terkuat di Malaysia. Sering kami diberi kebenaran untuk keluar asrama bagi melihat perlawanan bolasepak di stadium Darulaman yang berdekatan. Pernah satu ketika aku mencuri keluar asrama bagi mengikuti perlawanan bolasepak antara Kedah dan Pahang yang dimenangi Kedah 3-1, lalu dimahkotakan sebagai juara liga Malaysia, ketika itu kami tidak lagi dibenarkan keluar asrama memandangkan peperiksaan SPMV semakin dekat. Mujurlah warden tidak buat spot check ketika itu, kalau buat pasti aku dan kawan - kawan yang lain yang turut serta melompat pagar akan dihukum. Masih teringat aku, salah seorang dari sahabatku pernah bernazar hendak terjun dari tingkat tingkat 1 asrama jika Kedah menjuarai liga Malaysia menumpaskan Pahang. Malah sekolahku merupakan antara sekolah terbaik dalam bolasepak di negeri Kedah, pernah layak keperingkat semi final peringkat daerah Kota Setar tewas kepada kolej Syed Omar. Ketika tahun 1994, sewaktu World Cup 1994 final antara Brazil dan Itali, kami semua telah diberi kelonggaran untuk mengikuti siaran langsung final world cup diawal pagi, lalu menyebabkan kebanyakan kami tidak dapat memberi tumpuan penuh belajar keesokkan harinya. Salah seorang dari warden kami yang bernama cikgu Mukhideen merupakan salah seorang pengadil FIFA dan pengadil popular liga Malaysia ketika ini. Sementara itu, bekas penyelia asrama kami, Pak Cik Saaban (orang Tokai) merupakan bekas pengurus pasukan bolasepak sekolah juga pernah menjadi pengurus pasukan bolasepak Kedah suatu ketika dahulu.
Pengetua juga sangat berbangga dengan dengan tahap kebersihan sekolah, beliau sering memuji kebersihan tandas sekolah, malah sekolah kami kerap memenangi pertandingan tandas terbersih peringkat negeri dan daerah. Pengetua juga sangat berbangga jika terdapat anak murid sekolah kami berjaya dalam bidang masing - masing, sebagai contoh sahabat saya Capang (Shahril), yang merupakan bekas rakan sebilik ketika di semester 1 di Politeknik Kota Bharu, beliau telah mendapat tawaran belajar di Korea selepas berjaya melepasi beberapa ujian ketat/saringan serta saingan dari pelajar - pelajar lain yang datang dari seluruh negara. Begitu juga dengan pencapaian Ezad (penyanyi Exist) yang merupakan junior kami ketika itu, yang telah berjaya dalam audition menjadi penyanyi kumpulan Exist, sehinggakan beliau sanggup melekatkan keratan akhbar tentang kejayaan Ezad Exist dalam news board sekolah.
Kita haruslah sentiasa mengingati peranan yang telah dimainkan oleh sekolah dalam membentuk peribadi diri dan haruslah sentiasa menghormati peranan yang dimainkan oleh guru - guru, kerana guru juga memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk peribadi anak - anak murid dan akhirnya masyarakat secara umumnya. Bagi seorang guru seperti Pak Man, adalah merupakan satu kebanggaan baginya jika terdapat bekas anak muridnya masih sanggup menegur dan mengingatinya walaupun sudah bersara. Malangnya, ketika ini terdapat guru - guru yang kurang ikhlas dan kurang bersungguh - sungguh dalam mendidik anak - anak murid (mereka ini harus mencontohi teacher Salmee dalam soal kesungguhan dan keikhlasan dalam mendidik). Sesungguhnya jasa dan pengorbanan Pak Man, Pak Mat, Pengetua Abd. Rahman, Teacher Salmee dan guru - guru yang lain amatlah kami hargai, tanpamu siapalah kami.
Adakah kita sudah kekurangan guru seperti mereka ini? Adakah guru zaman sekarang lebih mementingkan soal habuan dan reward? Pada saya seseorang itu yang ingin menjadi guru mestilah mempunyai soul terlebih dahulu. Mungkin soul inilah yang berkurangan di kalangan guru - guru zaman sekarang dalam soal memberi roh/ilmu pembelajaran atau maksud sebenar dalam soal menuntut ilmu di kalangan pelajar - pelajar zaman sekarang. Seperti yang pernah dikatakan oleh arwah ayah (Ahmad Shaffie), bukan sekadar segulung ijazah atau sijil yang beliau mahukan dari anak - anaknya perolehi, tetapi ilmu yang terdapat di menara gading yang beliau hendakkan anak - anaknya perolehi.
Kepada adik - adik dan abang - abang serta sahabat di sana, hargailah dan gunakanlah sepenuhnya peluang yang terhidang ketika masih belajar lagi, peluang yang terhidang hanya datang sekali dalam hidup kita. Kalau kita terlepas, ianya akan pergi selama - lamanya, amat tipis sekali peluang tersebut untuk datang kembali.
Segala apa yang dicoretkan di atas hanyalah untuk renungan kita bersama.
No comments:
Post a Comment